Dua gegaran susulan
ISLAMABAD: Wilayah Pakistan yang teruk dilanda gempa bumi awal bulan ini digegarkan dengan dua lagi gegaran susulan awal semalam tetapi tiada laporan kematian diterima, kata pegawai jabatan gempa bumi.
Gegaran susulan berukuran 4.9 pada skala Richter dirasakan pada jam 5.44 pagi waktu tempatan di Mahsera, kata Ishtiaq Ahmed kepada AFP.
Ia terjadi kira-kira lima jam selepas gegaran awal melanda bandar itu pada jam 12.29 pagi waktu tempatan.
Pusat kedua-dua gegaran terletak berhampiran Mansehra, kira-kira 90 kilometer ke utara Islamabad, katanya.
Pakistan digegarkan dengan lebih 700 gegaran susulan sejak gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda negara itu pada 8 Oktober lalu yang menyebabkan lebih 53,000 maut dan lebih 75,000 lagi cedera di wilayah utara dan Kashmir ditadbir Pakistan.
Kira-kira 3.3 juta penduduk lagi kehilangan tempat tinggal dalam bencana itu.
Mansehra, yang juga musnah teruk dalam kejadian itu, menjadi tempat berlindung kepada beribu-ribu penduduk dari kawasan lebih teruk terjejas di pergunungan Kashmir.
Ketua jabatan gempa bumi, Qamaruz Zaman, memberitahu AFP minggu lalu bahawa gegaran susulan mungkin terus menggegarkan wilayah itu sehingga tiga atau empat minggu lagi.
Sementara itu, gempa bumi turut menggegarkan timur Afghanistan berhampiran sempadan wilayah teruk dilanda bencana itu di Pakistan awal semalam dengan laporan awal menyebut sekurang-kurangnya lima terbunuh dan enam cedera, kata kementerian pertahanan.
Laporan awal juga menyebut beberapa rumah musnah dalam gempa bumi yang melanda wilayah pergunungan Paktika pada kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan, kata jurucakap kementerian, Jeneral Mohammad Zahir Azimi, pada sidang akhbar.
Satu lagi gempa bumi melanda Zabul, Jumaat lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut, kata pegawai. – AFP
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Dunia/20051024015948/Article/
No comments:
Post a Comment