Saturday, January 28, 2006

Bicara Sufi

Bicara Sufi

Arakian berjalanlah seorang sufi, berjubah putih suci, di wajahnya
terserlah satu ketenangan. Maka bermula safarnya itu di bulan Rejab.
Maka tersebutlah tujuan si sufi itu mengembara adalah untuk keluar
dari kampungnya yang sudah cukup bahagia untuk meninjau-ninjau keadaan
kampung-kampung yang lain. Si sufi ini sebenarnya adalah seorang
hartawan tetapi dia juga seorang dermawan. Terkenallah namanya di
seluruh kampungnya itu sebagai seorang kaya yang budiman. Bukan itu
sahaja, ghalibnya saban hari, saban malam ia memberi tunjuk ajar
kepada penduduk kampung akan tentang agama allah yang suci. Setelah
dilihatnya penduduk kampungnya itu sudah mampu meneruskan hidup
berlandaskan jalan Al-Quran dan Sunnah maka ditinggalkanlah beberapa
orang pemuda yang alim tentang kalam Allah dan sabda Rasulullah SAW
sedangkan dia mahu mengembara ke kampung-kampung lain.

(1)
Ketika sedang meneruskan safarnya itu, maka dahagalah tekak si sufi
lantaran tidak meneguk air sejak subuh. Mencari-cari oleh sufi itu
akan kedai-kedai yang menjual minuman dan makanan. Peliklah di hati
sufi ini lantaran melihat tiada bukanya kedai makanan dan minuman di
kampong itu. Si sufi pun meneruskan langkahan kakinya walaupun haus di
tekaknya semakin mencengkam. Sedang dalam lelah dia berjalan,
terlihatlah dia akan sebuah perigi wakaf. Giranglah hati si sufi. Maka
berlarilah si sufi kearah perigi tersebut. Di dalam perigi itu,
terlihat pula air yang jernih lagi suci. Maka si sufi pun mengambil
timba lalu diceduknya air perigi tersebut. Tanpa lupa menyebut nama
Allah maka diteguklah oleh si sufi akan air itu sepuas-puasnya. Ketika
sedang dia menikmati nikmta air yang menyejukkan itu, terkejut pula
dia dengan satu herdikan yang keras. Berpalinglah si sufi ke belakang
lantaran ingin melihat siapakah gerangan yang menengkingnya itu.
Terlihat oleh si sufi akan seorang lelaki gempal, berjuabh hitam,
matanya merah seperti naga. Maka si sufi pun memberi salam. Tapi
salamnya tidak disambut oleh lelaki tadi. Bukan sahaja tidak di balas
salam si sufi itu, malah diherdiknya pula:

" Sungguh kurang ajar tuan ini, berpakaian sahaja seperti seorang alim
tapi tak tahu adab sopan," berkata si lelaki berjubah hitam tadi.

Terpinga-pingalah si sufi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal
yang ditutupi oleh kopiah putihnya itu. Maka bertanyalah si sufi akan
kemusykilan yang semakin menebal di dalam dirinya:

" Apakah sebab tuan terlalu marah kala melihat saya meminum air di
perigi ini sedangkan setahu saya ini perigi yang di wakafkan untuk
orang ramai yang memerlukannya?" soal si sufi memohon kepastian.

" Engkau ini nampak sahaja alim tapi jahil rupanya. Apa kau tidak tahu
ini bulan Rejab, bulan Allah. Kami di kampung ini berpuasa untuk
mendapatkan ganjaran-ganjaran yang berlipat kali ganda. Sesiapa yang
tidak berpuasa di bulan ini sesungguhnya dia itu manusia yang hina tak
tahu bersyukur," terang lelaki berjubah hitam itu dengan penuh semangat.

Bertambah terpinga-pinga si sufi. Maka lelaki berjubah hitam itu
menyambung lagi kata-katanya. Berkata lelaki berjubah hitam itu akan
fadhilat-fadhilat yang banyak di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Di
terangkannya bahawa bulan Rejab itu bulan Allah, bulan Syaaban itu
bulan Rasulullah SAW dan Ramadhan itu pula bulan untuk umat. Maka
fahamlah akan si sufi apa yang lelaki berjubah itu perkatakan. Tahulah
dia yang lelaki berjubah hitam dan penduduk kampung itu sudah terkena
penyakit fadhilat. Teringatlah si sufi akan pesan guru mursyidnya yang
terkenal dengan gelaran Muhaddith. Gurunya pernah berkata di zaman
dahulu kala tersebutlah segolongan manusia yang mereka-reka sabda
baginda Rasulullah SAW atas nawaitu untuk mengajak manusia menyucikan
diri daripada dosa-dosa dan mentaqarrubkan diri yang jauh kepada
Allah. Atas nawaitu yang suci itu, maka tersilap langkah pula mereka
dengan mencipta sabda-sabda baginda SAW yang baharu. Maka tersebarlah
sabda-sabda palsu itu ke seluruh masyarakat hatta mereka yang alim pun
terkhilaf manakah sabda Rasulullah SAW yang sebenar dan mana pula
sabda rekaan.

Maka tahulah si sufi ini bahawa penduduk kampung ini sudah terpesong
mengikut sabda-sabda dan qaul-qaul yang dhaif bahkan palsu jua. Maka
berkatalah si sufi membuka bicara:

" Tidak tahukah tuan bahawa kebanyakan fadhilat-fadhilat yang tuan
sebutkan itu qaul yang dhaif bahkan ada pula yang dusta. Tidak
takutkah tuan akan amaran baginda SAW bagi mereka yang berdusta di
atas nama baginda SAW. Sesiapa yang berdusta di atas nama Rasulullah
SAW berdosa besarlah dia dengan sebesar-besar dosa."

Bertukar lah air muka lelaki berjubah hitam itu. Marahnya bukan
kepalang lagi. Mahu sahaja ditempelengnya muka si sufi itu. Dengan
bengisnya maka berkata lelaki berjubah hitam itu:

" Ah apakah engkau ini wahhabi ataupu salafi."

Maka si sufi dengan tenang menjelas bahawa petunjuknya adalah
Al-Quran, pelengkapnya adalah sunnah Rasulullah SAW dan pewaris yang
mewarisi kedua-dua ini adalah ulama' yang sebenar-benar ulama'. Maka
bertambah murka si lelaki berjubah hitam tatkala mendengar
jawapan-jawapan si sufi. Si sufi pun meninggalkan lelaki berjubah
hitam itu dengan penyakit fadhilatnya.

(2)
Si sufi terus berjalan meneruskan safarnya. Kali ini si sufi melihat
sebuah gua di kaki sebatang gunung. Maka terfikirlah si sufi untuk
merehatkan tubuhnya di gua itu. Masakan tidak sudah sehari-harian dia
berjalan. Gua itu sungguh luas. Kelihatan sang kelawar berterbangan,
bergayut-gayutan. Si sufi pun melangkah masuk ke dalam gua. Tidak lupa
dia memohon kepada Allah Taala mohon dijauhkan segala malapetaka di
dalam gua. Tatkala sedang si sufi mencari-cari tapak di dalam gua
untuk merehatkan batang tubuhnya. Terdengar pula si sufi akan suara
yang ganjil. Pelik bunyinya. Sekali dengar macam orang berzikir. Dua
kali dengar seperti bunyi lembu laga yang baru lepas bertarung. Maka
mencari sufi akan arah suara itu. Suara itu semakin jelas menangkap ke
telinga si sufi. Terlihat si sufi akan sebatang tubuh manusia. Menegur
dia si sufi:
"Assalamualaikum," si sufi memberi salam.
Salamnya tidak bersambut. Lelaki itu terus dengan asyiknya
menggoyang-goyang kepalanya sambil menyebut Hu!Hu!Hu!. Tahulah si sufi
bahawa lelaki ini sedang berzikir yang sebenarnya bukan zikir.
Tiba-tiba lelaki itu memberhentikan zikirnya seraya bertanya:
"Apa yang engkau mahu wahai manusia. Tidak nampakkah engkau yang aku
sedang bersuluk," soal lelaki itu.

Maka mulalah bertanya si sufi akan gerangan apa yang sedang dilakukan
oleh lelaki tersebut. Maka menjawablah ia dengan bangganya:

"Ini zikir bukan sebarang zikir. Ini zikir rahsia. Hu!Hu! Hanya yang
ma'rifat mengetahuinya."

Maka terfikirlah si sufi akan cerita gurunya. Pada suatu masa dahulu
telah lahir segolongan manusia. Mereka ini menghabiskan masa mereka di
gua-gua. Menyuci diri dari segala dosa. Maka mereka itu pula dipimpin
seorang guru yang mereka anggap mursyid yang sebenarnya bukan mursyid.
Maka diajar kepada mereka segala jenis zikir rahsia. Zikir untuk
mereka yang terpilih sahaja. Hanya yang ma'rifat mengenal ma'rifat.
Maka berbondong-bondonglah manusia datag kepada guru yang kononnya
mursyid ini sambil memohon keberkatan yang sebenarnya penyesatan. Maka
dihantar mereka itu ke serata gunung-ganang, bukit-bukau dan ada pula
yang duduk di dalam liang lahad untuk menycui diri. Berzikirlah mereka
dengan zikir rahsia yang penuh rahsia. Tersebarlah pula berita
kononnya mereka yang mengamalkan zikir rahsia ini boleh terbang di
angksaraya.

Maka si sufi itu pun mula berbicara:

"Sejak bilakah pula ada rahsia di dalam agama kita. Rasulullah SAW
dihantar untuk menyebar agama. Bukankah sifat baginda Tabligh iaitu
menyampaikan. Tak pernah pula baginda sebut tentang zikir rahsia.
Bahkan tak pernah pula di dalam riwayatnya baginda megamalkan zikir
Hu!Hu1 seperti yang tuan buat tadi."

Maka marah lah si petapa. Dengan bengis ia berkata:

"Ah apa yang engkau tahu wahai sufi yang hina. Aku ini ma'rifat bukan
seperti engkau yang pandangan terhijab. Kau tahu jika sekarang aku
mahu terbang ke angkasaraya aku mampu melakukannya. Jika sekarang aku
ingin mencelikkan si buta nescaya berkuasa aku mencelikkannya. Engkau
belum mencapai tahap ma'rifat. Kau tidak tahu segala isi yang rahsia."

No comments: