Saturday, January 28, 2006

Doa Awal dan akhir tahun

DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN

PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang. Yang menciptakan alam ini tanpa sedikit kecacatan.
Yang menjadikan manusia dengan penuh sifatnya. Maha Besar Allah,
Tuhan semesta alam.

Selawat dan salam semoga terlimpah pada Rasul mulia, junjungan kita
Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya, dan para penerusnya yang
mengikuti mereka sehingga kiamat.

Wahai sahabat-sahabatku se-Islam sekalian, takutlah akan Allah.
Bertawakallah kepadaNya. Bersama-samalah kita saling ingat-mengingati
ke arah kebenaran. Semoga tergolong di dalam golongan yang telah
dijanjikan Allah kemualiaan di sisiNya. Insya Allah.

Doa merupakan satu anugerah Allah yang telah dikurniakan kepada kita.
Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang sahih
berkisar mengenai doa ini. Bahkan Allah telah menyediakan pula waktu-
waktu mustajab untuk kita berdoa. Namun kita mesti juga akur bahawa
segala ibadat yang kita lakukan mestilah berlandaskan dalil yang
kukuh dan bukannya akal semata-mata.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu tauladan
(contoh ibadat) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan
(rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta dia banyak
mengingati Allah."
Surah Al-ahzab ayat 21

Allah juga telah berfirman:
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu buat kamu dan telah
Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Aku redhai Islam menjadi
agamamu."
Surah Al-Maidah ayat 3

Rasulullah saw bersabda:
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan perintah kami(Allah
dan RasulNya), maka amalan itu tertolak."
Hadis riwayat Muslim

Imam Syafi'I juga pernah menegaskan dalam kitabnya Ar-Risalah dengan
kata-kata beliau yang masyhur:
"Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik sesuatu amalannya yang
direka), beerti dia telah membuat satu syariat dan sesiapa yang
membuat syariat, maka ia sudah kafir."

Maka di sini terang mengatakan bahawa ibadat itu tidak boleh di ambil
mudah. Hujah akal tidak menghalalkan sesuatu ibadat. Kerana asal
sesuatu ibadat itu haram selagi tidak ada dalil yang mengharuskannya.

Doa Awal dan Akhir Tahun

Insya Allah pada kali ini, kita akan membuat kesimpulan/ringkasan
mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, Kami akan
mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal
dan akhir tahun.

Berikut adalah doa yang dimaksudkan:

Awal tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan
mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami
Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah,
sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku
belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu.
Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau
memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku
memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku
lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala,
maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal
Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau
hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas
junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya.
Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan
mentadbir sekalian alam".

Akhir tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan
mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami
Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah,
Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu
yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada
tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada
syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku
emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke
arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah
daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas
junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan
sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang
memelihara dan mentadbir sekalian alam".

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang
sering kelihatan:


Quote:
Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah
mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku
dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan
Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu,
Allah mengampunkannya setahun".

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah
anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah
mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu
Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan
Zulhijah.

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada
malam 1 Muharam.

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta
kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak
membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah,
malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya
namun hasilnya serupa, hampa.

Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari
ulama'-ulama' luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi
juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus
bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas
adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari
yang beerti:
"Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada
hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak."

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan
awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia
mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi
mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya
tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada
mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang
bermaksud:
"Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka
sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka." Hadis Mutawtir

Ibnu Mas'ud pernah berkata yang bermaksud:
"Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh
Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru.
Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh
Rasulullah saw)."

Ibnu Abbas juga pernah berkata:
"Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah.
Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah
anda mengada-adakan sesuatu yang baru."


Kesimpulan

Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak.
Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu,
terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu
yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya
mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan
fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya
dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang
sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut.
Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah
seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana
datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya
sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka
akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat
yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil.

Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:
"Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah.
Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-
jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-
adakan itu adalah bid'ah manakala setiap bid'ah adalah sesat." Hadis
riwayat Muslim

Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan:
"….dan setiap kesesatan itu di dalam neraka."

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan
hanya pada awal dan akhir tahun sahaja.

Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang
mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih
berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya
kami hanyalah hamba Allah yang lemah.

Sekian. Wassalam


Rujukan
Fatwa Islamiyah
-Sheikh Abdul Aziz bin Baz
-Sheikh Muhammad bin Salih Al-Uthaimin
-Sheikh Abdullah bin Abdur-Rahman Al-Jibreen
-The Permanent Committee and the decisions of Fiqh Council
Disusun oleh Muhammad bin Abdul Aziz al-Musnad

No comments: